IKRAM Mesir

Profile

Menu Style

Cpanel
 
 
 
 
 
 
 
 

STEP 2012: Lebih 1,200 Pelajar Hadiri Program Sulung Kelab IKRAM Mesir

Email

KAHERAH – Konvensyen Sliding Through Experience as Professionals (STEP 2012) telah diadakan pada Jumaat 6 April 2012 yang lalu di Al-Azhar Conference Centre, Hayy Rab'ah, Kaherah dengan kehadiran lebih 1,200 pelajar dalam kalangan mahasiswa Perubatan, Pergigian dan Pengajian Islam. Konvensyen yang bertemakan "Medicine & Faith: Empowering the Muslim Doctors" adalah program sulung Kelab IKRAM Mesir dengan kerjasama Education Malaysia Egypt (EME) dan MedicMesir.

Kelab IKRAM Mesir telah disahkan penubuhannya secara rasmi oleh EME pada 28 Mac 2012 yang lalu. Untuk mendapatkan motivasi dan gambaran jelas kepada pelajar di Mesir tentang profesion perubatan, dua penceramah dari Malaysia telah dijemput iaitu Prof Madya Dr Harlina Halizah Hj Siraj, pakar perunding Obstetriks dan Ginekologi UKM, dan Dr Hafidzah Hj Mustakim, doktor perubatan Klinik Perdana Islah.

 


 

STEP 2012 telah dirasmikan oleh Pengarah EME, Prof Madya Dr Hj Su’aidi Dato' Hj Safei. Majlis turut dihadiri Ustaz Abdul Haris Bain merangkap Penasihat Kelab IKRAM Mesir dan para pegawai EME. Dalam ucapan perasmiannya, Dr Su’aidi mengucapkan tahniah kepada Kelab IKRAM Mesir dan MedicMesir atas penganjuran konvensyen ini dan berharap agar para pelajar dapat memanfaatkan program ini sebagai salah satu cara untuk meningkatkan keupayaan mereka dalam pembangunan kendiri ke arah menjadi profesional yang cemerlang.

Terdahulu Saudara Nik Abd Rahman Nik Mazian, pelajar Perubatan Tahun Akhir Universiti Kaherah selaku Pengarah STEP 2012 dalam ucapannya mengalu-alukan kehadiran dan kerjasama semua pihak dalam memberikan pendedahan tentang realiti kehidupan seorang doktor untuk melahirkan doktor dan Muslim profesional cemerlang yang akan pulang berkhidmat di bumi tercinta Malaysia. Puan Siti Haniza Mohd Nazri selaku Ketua Eksekutif MedicMesir turut berucap dan berharap agar para pelajar dapat mengambil kesempatan menimba ilmu dan tips untuk menjadi doktor yang berjaya.

 


 

Dr Hafidzah menyampaikan tajuk “Survival Tips for Medical Students” sementara Dr Harlina menyampaikan tajuk “Becoming Five Star Medical Doctors: What does it mean?” Kedua-dua penceramah berjaya memberi semangat dan motivasi untuk berjaya dalam bidang perubatan dan cabaran dalam menghadapi alam kerjaya, rumahtangga dan berdakwah dalam masyarakat.

 


Majlis diakhiri dengan persembahan nasyid dua kumpulan pelajar Malaysia di Mesir. Kebanyakan peserta berpuas hati dengan perjalanan program dan pengisian yang diberikan oleh kedua panel amat bermakna untuk menjadi bekalan sebagai pakar perubatan yang bukan sahaja berjaya di dunia tetapi juga di akhirat. Tahniah buat Kelab IKRAM Mesir yang merintis program sulung yang besar dan hebat ini. Semoga usaha dakwah dan tarbiah pelajar Malaysia berkembang subur di bumi Anbia’ ini, insya-Allah. STEP Haybat!

(sumber : Portal Pertubuhan IKRAM Malaysia)


Pautan :